Kuantan, 15 Mei 2025 – Kesedaran berkenaan kepentingan dan keberkatan wakaf terus disemai menerusi sesi Taklimat Wakaf yang telah diadakan di Sekolah Kebangsaan Jabor, di sini hari ini.
Taklimat telah disampaikan oleh wakil dari Wakaf Pahang, Ustaz Muhammad Fariduddin bin Mohd Salleh dari Bahagian Dakwah dan Pemasaran, yang menekankan tentang keistimewaan wakaf sebagai satu bentuk amalan jariah yang berkekalan dan memberi manfaat berpanjangan.

Program yang melibatkan guru-guru dan kakitangan sekolah ini turut memberi fokus kepada peluang wakaf melalui potongan gaji bulanan, khasnya bagi penjawat awam di negeri Pahang. Para peserta diberi penerangan mengenai projek-projek wakaf semasa, serta bagaimana sumbangan wakaf dapat membantu memperkasa pendidikan, kebajikan dan pembangunan ummah.
Sesi diakhiri dengan soal jawab dan perkongsian pengalaman, yang turut membuka ruang bagi para guru menyuarakan pandangan dan persoalan berkaitan wakaf.
Wakaf Pahang merakamkan penghargaan atas sambutan baik daripada pihak sekolah dan berharap usaha seperti ini dapat diteruskan bagi menyemarakkan budaya wakaf dalam kalangan masyarakat.