KUANTAN, 31 MAC 2023 – Satu taklimat telah diadakan di Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) bersempena Bulan Ramadan al-Mubarak 1444H. Tujuan taklimat tersebut diadakan adalah untuk memperkenalkan kepada kakitangan LKIM berkenaan pengurusan wakaf dan zakat di negeri Pahang. Taklimat zakat telah disampaikan oleh Ustaz Mohd Nadir Syafiq bin Rameli, Penolong Pegawai Zakat PKZ Zon Timur manakala taklimat berkaitan pengurusan wakaf pula disampaikan oleh Ustaz Fariduddin bin Mohd Salleh, Unit Korporat, Pemasaran dan Dakwah.
Ustaz Nadir telah menerangkan dengan jelas kaedah pengiraan zakat serta syarat-syarat yang mewajibkan seseorang itu untuk berzakat manakala Ustaz Fariduddin pula menerangkan tentang manfaat dan kelebihan orang yang berwakaf. Selain itu, Ustaz Fariduddin juga mengajak warga LKIM untuk bersama-sama berwakaf dan mengambil peluang untuk melakukan amalan sunat itu pada bulan Ramadan sementara waktu masih ada. Puan Syafarezie binti Aziz, Timbalan Pengarah LKIM, juga turut serta untuk menjayakan program taklimat tersebut. Beliau mengharapkan agar PKZ dan Wakaf Pahang boleh bekerjasama untuk program yang akan datang.
Seusai taklimat, PKZ dan Wakaf Pahang membuka kaunter wakaf dan zakat untuk memudahkan warga LKIM menunaikan zakat fitrah atau zakat harta serta menyumbang wakaf. Alhamdulillah, program tersebut mendapat sambutan dan orang ramai mengambil peluang untuk menunaikan zakat serta menambah dengan amalan wakaf.