Taklimat Wakaf Pahang bersama Pengusaha Pondok dan Maahad Tahfiz di Daerah Maran dan Jengka

MARAN, 13 September 2023 – Satu taklimat wakaf telah diadakan Dewan PAID Maran bertujuan untuk memberikan maklumat tentang pengurusan wakaf di negeri Pahang. Seramai lebih 20 orang pengusaha pondok dan maahad tahfiz turut terlibat di dalam taklimat tersebut.

Taklimat wakaf yang berlangsung selama satu jam itu telah disampaikan oleh Ybhg. Dato Hj Halidan Bin Daud Pengurus Besar Kanan Zakat dan Wakaf Pahang. Antara perkara yang disentuh dalam taklimat tersebut adalah pengenalan kepada Wakaf Pahang, fungsi dan peranan Wakaf Pahang dan cara serta kemudahan untuk berwakaf. Turut di sentuh adalah amalan pewakafan pondok dan maahad tahfiz sekarang serta penyelesaian yang ditawarkan dalam menyelesaikan isu tanah dan aset wakaf yang melibatkan institusi pondok dan maahad tahfiz.

Antara lain dalam taklimat tersebut dicadangkan kepada semua pengusaha pondok dan maahad tahfiz agar mengisi borang dan membuka fail bagi tujuan proses pendaftaran wakaf kepada Majlis Ugama Dan Adat Resam Melayu Pahang serta mengenalpasti isu dan masalah yang di hadapai oleh setiap pondok dan maahad tahfiz agar proses pendaftaran wakaf berjalan dengan lancar. Berdasarkan maklumat yang di berikan oleh pengusaha pondok dan maahad tahfiz ini antara halangan yang sukar dalam menyelesaikan isu wakaf ini adalah tanah pemilikan nama berlapis-lapis yang belum diselesaikan melalui faraid dan status wakaf di atas tanah GSA Felda.