Temerloh, 10 Mac 2025 | 9 Ramadan 1446H – Bulan Ramadan bukan sekadar bulan menahan lapar dan dahaga, tetapi juga sebuah madrasah yang mendidik jiwa ke arah ketakwaan. Dalam tazkirah bertajuk “Madrasah Ramadan” yang disampaikan oleh Ustaz Muhammad Fariduddin bin Haji Mohd Salleh di Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) Negeri Pahang hari ini, beliau menekankan kepentingan meningkatkan amal ibadah dan kebajikan sepanjang bulan yang penuh keberkatan ini.
Antara perkara yang ditekankan dalam tazkirah ialah kepentingan memperbanyakkan amalan kebajikan, terutama bersedekah dan berwakaf. Menurut beliau, Ramadan adalah bulan untuk melipatgandakan pahala melalui pemberian kepada golongan yang memerlukan. Sabda Nabi SAW:
“Sebaik-baik sedekah adalah sedekah di bulan Ramadan.” (HR. Tirmizi)
Beliau menjelaskan bahawa sedekah bukan hanya dalam bentuk harta, tetapi juga bantuan tenaga, dan doa. Selain itu, beliau turut menggalakkan amalan wakaf sebagai satu bentuk infak jangka panjang yang memberikan manfaat berterusan kepada masyarakat.
Tazkirah ini turut dihadiri oleh Pengarah Penilaian Negeri, Puan Maznah binti Ngah, bersama staf-staf jabatan yang mengambil peluang untuk menimba ilmu dan menghayati nilai Ramadan sebagai bulan tarbiyah dan pembentukan akhlak.
“Ramadan adalah peluang untuk kita melatih diri menjadi insan yang lebih pemurah dan lebih dekat kepada Allah. Manfaatkan setiap detik dalam bulan ini dengan amal soleh dan kebajikan,” pesan Ustaz Muhammad Fariduddin di akhir tazkirahnya.
Program ini mendapat sambutan yang sangat baik, dan diharapkan semangat beribadah serta bersedekah yang dipupuk sepanjang Ramadan dapat diteruskan dalam kehidupan seharian.