KUANTAN, 16 FEBRUARI 2022 – Satu taklimat program berkenaan Zakat & Wakaf telah berlangsung di Kem TUDM Kuantan yang dihadiri hampir 100 orang pegawai serta anggota TUDM. Tumpuan kepada wakaf menerusi penerangan dan taklimat ini memberikan satu peluang dan pendedahan yang amat baik dalam kalangan anggota TUDM untuk lebih memahami perjalanan pengurusan organisasi Wakaf Pahang disamping mendapat ilmu berkenaan wakaf.
Wakaf adalah satu ibadah menyerahkan harta yang kita miliki untuk kegunaan umat Islam dengan niat sebagai ibadah untuk mendekatkan diri kita kepada Allah SWT. Para Fuqaha’ (ahli fiqh dan ulama’) berpendapat, amalan wakaf merupakan ibadah yang berbentuk sedekah jariah yang menjanjikan ganjaran pahala yang berkekalan dan mengalir terus kepada pewakaf dan sangat dituntut dalam agama Islam.
Kedudukan harta wakaf adalah kekal sebagai hak Allah Taala, dengan demikian kedudukan harta wakaf tidak boleh dimiliki, dijual, dihibah (diberi), diwarisi dan dipusakai.
Allah S.W.T telah mensyariatkan wakaf, menganjur dan menjadikannya sebagai salah satu agenda untuk mendampingkan diri kepadanya dan memberikan pahala yang cukup besar bagi sesiapa yang menginfaqkan harta mereka ke jalan Allah S.W.T sebagaimana firman Allah yang bermaksud: –
“Bandingan (pahala) orang-orang yang membelanjakan harta mereka pada jalan Allah seumpama sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai dan tiap-tiap tangkai itu pula terdapat seratus biji. Dan ingatlah Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya dan Allah Maha Luas (KurniaNya) lagi Maha Mengetahui”.
(Surah Al-Baqarah Ayat 261)
Rasulullah S.A.W sendiri amat menggalakkan umat baginda supaya memperbanyakkan sedekah jariah sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A yang bermaksud:
“Apabila matinya seseorang anak Adam itu maka terputuslah amalannya kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah , ilmu yang dimanfaatkannya dan anak yang soleh yang sentiasa mendoakan kepada kedua ibubapanya.
(Hadis Riwayat Muslim)
Antara hikmah yang terdapat didalam ibadah wakaf ialah dapat menzahirkan pengabdian diri kepada Allah S.W.T sebagai langkah mendekatkan diri kepadaNya, mendapat kebajikan yang berkekalan walaupun pewakaf telah meninggal dunia, serta berkongsi manfaat dalam kalangan umat Islam dalam menyemarakkan syiar Islam. Selain itu, ianya dapat mengukuhkan perpaduan dan ekonomi ummah dan juga secara tidak langsung dapat mengekalkan pemilikan dan pengkongsian aset umat Islam di negara ini khususnya.
Di negara kita, amalan wakaf hidup subur dengan pewakafan aset dan tunai untuk pembinaan pelbagai fasiliti keagamaan dan dakwah seperti masjid, surau dan sekolah agama.
Ruang untuk berwakaf masih terbuka luas bagi meningkatkan ekonomi umat Islam khususnya di negeri Pahang ini. Semoga program yang dijalankan dapat mewujudkan amalan berwakaf dalam kalangan anggota tentera serta merebut peluang menjana pahala beterusan dengan amalan berwakaf.