Wakaf Pahang dengan kerjasama MUIP Dalam Usaha Melestarikan Pewakafan Hartanah

TEMERLOH, 17 JANUARI 2024 – Satu pertemuan telah diadakan bersama pemilik tanah serta pengusaha-pengusaha Pondok dan Maahad Tahfiz Daerah Temerloh dan Bera. Taklimat yang disampaikan oleh YH Dato’ Haji Halidan Bin Md Daud, Pengurus Besar Kanan Wakaf Pahang MUIP bertempat di Masjid Baru Bukit Angin Temerloh. Pertemuan ini adalah bagi memberi penerangan lanjut berkaitan pewakafan hartanah.

Dalam taklimat tersebut, Dato’ Haji Halidan Bin Md Daud telah menyampaikan penerangan dan panduan penting berkaitan pelestarian harta wakaf tanah. Beliau turut memberi penekanan mengenai peranan Pengusaha Pondok/Tahfiz Daerah Temerloh dan Bera dalam menjaga dan menguruskan harta wakaf tersebut.

Dalam penerangan Dato’, beliau menegaskan bahawa MUIP adalah pemegang amanah tunggal harta wakaf di negeri Pahang. Ini bermakna, tanggungjawab untuk menjaga kelestarian serta memastikan manfaat wakaf disalurkan dengan berkesan menjadi keutamaan utama MUIP.

Dalam konteks Pengusaha Pondok/Tahfiz Daerah Temerloh dan Bera, Dato’ Haji Halidan Bin Md Daud memberikan panduan tentang kaedah mewakafkan tanah melalui MUIP oleh pengusaha tahfiz/pondok agar tanah tersebut terjamin buat selamanya.Walaupun tanah tersebut diwakafkan,pihak tahfiz/pondok tetap boleh menjalankan pengurusan seperti biasa dengan diberi status mutawalli dalam menguruskan aset wakaf sebagai pusat pengajian agama.

Beliau juga menyeru agar Pengusaha Pondok/Tahfiz terlibat secara aktif dalam program-program pemeliharaan harta wakaf yang dijalankan oleh MUIP. Dato’ menekankan pentingnya kerjasama erat antara pihak MUIP dan Pengusaha Pondok/Tahfiz untuk memastikan kesinambungan dan keberlanjutan amanah pelestarian harta wakaf.

Taklimat tersebut diakhiri dengan sesi soal jawab di mana Pengusaha Pondok/Tahfiz Daerah Temerloh dan Bera dapat menyuarakan pertanyaan atau keperluan mereka berkaitan dengan pengurusan wakaf. Kesemua peserta diberi peluang untuk berinteraksi secara langsung dengan Dato’ Haji Halidan Bin Md Daud bagi mendapatkan pemahaman yang lebih mendalam mengenai tugas dan tanggungjawab mereka dalam menjaga harta wakaf tanah.

Taklimat pelestarian wakaf tanah ini memberikan landasan yang kukuh untuk memastikan kelestarian harta wakaf serta penyampaian manfaatnya kepada masyarakat setempat.