Wakaf Pahang Perkenal Tabung Wakaf Masjid

KUANTAN, 20 MEI 2024 – Wakaf Pahang telah melancarkan inisiatif terbaru mereka, Tabung Wakaf Masjid dalam satu taklimat yang diadakan di Dewan Shahbandar, Masjid Negeri Pahang, Kuantan. Inisiatif ini diwujudkan dengan matlamat untuk mengumpul dana wakaf bagi pembangunan dan penyelenggaraan di masjid-masjid yang terpilih di seluruh Pahang.

Sesi taklimat yang diadakan melibatkan pembentangan garis panduan pelaksanaan Tabung Wakaf Masjid yang disampaikan oleh Wakaf Pahang. Garis panduan ini termasuk prosedur kutipan dana, pengurusan kewangan, dan pelaporan yang telus, agar semua pihak yang terlibat dapat melaksanakan tanggungjawab mereka dengan baik dan berkesan. Taklimat yang dihadiri oleh qadhi-qadhi daerah dan pengurusan masjid ini bertujuan untuk meningkatkan pemahaman tentang konsep wakaf serta manfaatnya kepada masyarakat. Turut hadir YH Dato’ Haji Abdul Zaki bin Haji, Timbalan Pengarah JAIP.

Dalam satu ucapan YH Dato’ Hj Halidan Md Daud selaku Pengurus Besar Kanan Pusat Kutipan Zakat dan Wakaf Pahang, beliau menekankan bahawa tabung ini bukan sahaja untuk mengumpul dana tetapi juga untuk memupuk semangat dan kesedaran tentang pentingnya sumbangan wakaf dalam memperkukuh institusi masjid dab surau. Beliau juga berharap agar inisiatif ini dapat menjadi model kepada negeri-negeri lain dalam usaha memperkasa pengurusan masjid melalui dana wakaf.

Para hadirin yang hadir menyambut baik usaha ini dan menyatakan komitmen mereka untuk turut serta dalam menjayakan Tabung Wakaf Masjid. Pelbagai persoalan juga sempat diajukan kepada pihak pengurusan Wakaf Pahang agar perjalanan pelaksanaan Tabung Wakaf Masjid ini berjalan lancar dan seterusnya menarik minat masyarakat untuk berwakaf.

Wakaf Pahang yakin bahawa dengan kerjasama semua pihak, Tabung Wakaf Masjid akan mencapai matlamatnya dan memberikan impak positif yang berterusan khususnya kepada komuniti masjid dan surau.