Wakaf Pahang Sumbang 158 Unit Kerusi Roda Kepada Jabatan Kesihatan Negeri Pahang

KUANTAN, 5 OKTOBER 2023 – Wakaf Pahang menyumbangkan sebanyak 158 kerusi roda kepada Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKPN) untuk diagihkan kepada 94 klinik kesihatan dan 12 hospital di negeri ini.

Menurut Pengurus Besar Kanan Pusat Kutipan Zakat dan Wakaf Pahang, YH Dato’ Haji Halidan Md Daud, sumbangan bernilai RM60,000 itu merupakan sebahagian hasil kutipan dana wakaf bagi tahun ini.

“Ini merupakan satu simbolik saluran wakaf tunai yang kita hasratkan untuk kegunaan lima kategori iaitu keagamaan, kesihatan, pendidikan, sosial dan ekonomi. Dan hari ini sumbangan dari segi kesihatan,” katanya. Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Kerusi Roda daripada Wakaf Pahang, Majlis Ugama Islam Pahang  (MUIP) dengan kerjasama Bank Muamalat Malaysia Berhad kepada Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP) yang diwakili Pengarah Kesihatan Negeri, YH Dato’ Indera Dr. Nor Azimi Binti Yunus di sini hari ini.

Wakaf Pahang sentiasa komited dalam usaha-usaha untuk menarik lebih ramai pewakaf untuk berwakaf dengan Wakaf Pahang. Lebih banyak manfaat akan dapat disalurkan Kembali kepada Masyarakat sekiranya sasaran kutipan dana wakaf yang berjumlah RM3.5Juta pada tahun ini dapat dicapai.