Mini Forum ‘Bicara Wakaf’ di Surau Al-Falah Taman Seri Mahkota, Kuantan

KUANTAN, 28 MAC 2024 – Surau Al-Falah Taman Seri Mahkota, Kuantan menjadi saksi kepada satu taklimat dalam siri jelajah wakaf yang dihadiri oleh pengurusan kanan Wakaf Pahang dan disambut oleh Pengerusi Surau bersama barisan AJK dan Jemaah Surau.

Taklimat ini bermula pada jam 6.15 petang, telah diberikan oleh YBrs Dr. Mohd Syakir bin Hj Mohd Taib yang merupakan Timbalan Pengurus Besar Wakaf Pahang. Beliau menerangkan tentang pengurusan dan pentadbiran Wakaf Pahang. Turut disentuh dalam taklimat berikut adalah pembanguan aset wakaf dan kepentingan wakaf tunai.

Majlis taklimat ini turut diserikan lagi dengan kehadiran YH Dato Haji Halidan bin Md Daud Pengurus Besar Kanan Wakaf Pahang, merupakan seorang tokoh penting dalam pengurusan dan pentadbiran Wakaf Pahang. YH Dato juga sudi memberi ucapan rumusan yang menyatakan harapan serta komitmen yang besar terhadap pembangunan masjid dan surau serta projek-projek kebajikan yang dijalankan di seluruh negeri Pahang bagi mengeratkan kesatuan dalam memperkukuhkan hubungan antara masyarakat muslim tempatan dengan Wakaf Pahang.

Santunan wakaf ini memberi peluang kepada masyarakat setempat untuk berinteraksi dengan pentadbiran Wakaf Pahang serta mendapatkan pandangan mengenai isu-isu penting yang melibatkan wakaf di seluruh negeri Pahang. Taklimat dalam siri jelajah wakaf ini berakhir dengan acara serahan dana wakaf berjumlah RM50k kepada Pengerusi Surau Al-Falah, Ust Hasnul bagi projek penambahbaikan surau dan seterusnya majlis berbuka puasa sempena Nuzul al-Quran.