RAUB, 21 FEBRUARI 2024 – Dalam usaha untuk memberikan kesedaran mengenai pentingnya zakat dan wakaf, Kg Ulu Atok, Sega, Raub menjadi tuan rumah kepada Mini Forum bertajuk ‘Kiriman Berharga’. Forum ini merupakan sebahagian dari inisiatif Jelajah Bulan Zakat dan Wakaf yang diadakan oleh Wakaf Pahang.
Pengurus Besar Wakaf Pahang, Dato’ Hj Halidan dan Ustaz Mohd Farid Ramly, Ketua Bahagian Pemasaran dan Dakwah Wakaf Pahang, telah menjadi ahli panel dalam forum ini. Dalam penyampaian mereka, Dato’ Hj Halidan menyatakan betapa pentingnya ‘perancangan harta’ terhadap harta yang dimiliki, dengan menekankan bahawa harta dunia sepatutnya diuruskan dengan berhemah dan bijak di samping turut memikirkan bagaimanakah harta dunia ini boleh memberi manfaat di negeri akhirat.
Ustaz Mohd Farid B Ramly, dalam penuturan beliau, memberi penekanan khusus kepada konsep ‘Kiriman Berharga’ yang merangkumi wakaf tunai dengan serendah RM 5. Beliau menyatakan bahawa wakaf tunai pada jumlah yang rendah ini merupakan kaedah yang sangat memudahkan dan terbuka kepada semua lapisan masyarakat. Ia memberikan peluang kepada setiap individu untuk menyumbang kepada amal jariah, mnjadikan bekalan untuk kehidupan akhirat.
Peserta forum diberi ruang untuk bertanya soalan dan berkongsi pendapat mengenai isu-isu berkaitan wakaf. Kesedaran mengenai perlunya membuat perancangan terhadap harta yang dimiliki semakin meningkat dalam kalangan penduduk Kg Ulu Atok.
Forum ini bukan sahaja memberi ilmu, tetapi juga memberi inspirasi kepada masyarakat setempat untuk turut serta dalam usaha mewujudkan bekalan untuk akhirat melalui wakaf, tanpa mengira jumlah yang besar. Kiriman berharga, sekecil mana pun, sangat bermakna sebagai pelaburan kekal di dunia dan kehidupan seterusnya.