...

Mini Forum ‘Indahnya Berwakaf’ Meriahkan Sambutan Bulan Zakat Dan Wakaf Di Kg. Chat

KUALA LIPIS, 20 FEBRUARI 2024 – Satu mini Forum mengenai wakaf yang diadakan sempena Bulan Zakat dan Wakaf di Kg Chat, Benta, Kuala Lipis, telah menyaksikan penyertaan aktif ahli jemaah dan penduduk tempatan. Forum yang dianjurkan oleh Wakaf Pahang ini bertujuan memberi penekanan kepada pentingnya wakaf hartanah, termasuk tanah dan bangunan.

Pengurus Besar Wakaf Pahang, Dato’ Hj Halidan B Md Daud, serta Ustaz Mohd Farid Ramly, Ketua Bahagian Pemasaran dan Dakwah Wakaf Pahang, telah menjadi panel dalam forum tersebut. Dalam penyampaiannya, Dato Hj Halidan menekankan kepentingan wakaf hartanah sebagai satu bentuk pelaburan yang bukan sahaja memberikan pulangan di akhirat nanti tetapi ianya dapat di kecapi faedahnya kepada umat Islam dan masyarakat apabila ianya dibangunkan atau digunakan.

Forum ini turut memberi penekanan kepada kemudahan yang disediakan oleh Wakaf Pahang bagi memudahkan umat Islam berwakaf, khususnya dalam aspek wakaf tunai. Ustaz Mohd Farid Ramly menyampaikan pandangannya mengenai bagaimana wakaf tunai dapat menjadi satu sumber kekuatan ekonomi untuk umat Islam dan juga masyarakat setempat. Dari tabung wakaf tunai, ianya akan digunakan dalam lima kategori iaitu Keagamaan, Pendidikan, Kesihatan, Sosial dan Ekonomi

Sesi soal jawab turut menyaksikan minat daripada ahli jemaah, khususnya dari jawatankuasa masjid. Salah seorang anggota jawatankuasa meminta penjelasan tentang kaedah untuk memohon penggunaan tanah wakaf bagi menjana pendapatan kepada masjid. Dato’ Hj Halidan menjelaskan bahawa permohonan tersebut boleh diluluskan apabila diajukan kepada Wakaf Pahang. Beliau menekankan bahawa proses ini dirancang untuk memberi sokongan kepada masjid dan masyarakat setempat bagi menjana pendapatan. Dengan itu pihak masjid boleh membuat perancangan dalam memajukan masjid.

Forum ini dianggap sebagai langkah positif dalam memperkukuhkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan wakaf hartanah serta memberi peluang kepada umat Islam untuk berwakaf dengan lebih mudah dan berkesan.

Seraphinite AcceleratorBannerText_Seraphinite Accelerator
Turns on site high speed to be attractive for people and search engines.