Sampaikan Dana Wakaf Di Masjid Al Mukmin Tanah Putih Pekan

PEKAN, 27 MAC 2024 – Masjid Al Mukmin Tanah Putih menjadi destinasi majlis perkongsian maklumat mengenai wakaf, yang diadakan sempena Jelajah Wakaf Pahang dalam bulan Ramadhan ini. Kehadiran Wakaf Pahang, di bawah pimpinan Dato’ Hj. Halidan Md Daud, Pengurus Besar Wakaf Pahang, telah disambut oleh Pengerusi Masjid, Tn Haji Baharudin bin Abd Rahim, Timbalan Pengerusi, ahli jawatankuasa, serta pegawai-pegawai masjid.

Dalam penerangannya, Dato’ Hj. Halidan menekankan tentang betapa mudahnya  berwakaf melalui wang tunai, sedangkan penggunaannya dapat disebarkan ke seluruh negeri Pahang. Dana wakaf tunai ini akan disalurkan kepada lima kategori iaitu Keagamaan, Pendidikan, Kesihatan, Sosial dan Ekonomi. Sementara itu juga Dato’ Hj. Halidan turut menekankan betapa pentingnya mendaftarkan wakaf tanah kepada Majlis Ugama Islam Pahang bagi menjamin tanah tersebut tidak luput wakafnya apabila berlalunya tempoh tertentu kerana ianya mungkin akan di faraidkan oleh waris pewakaf disebabkan tiadanya rekod wakaf di dalam geran tanah yang diwakafkan.

Wakaf Pahang turut mengumumkan penyampaian dana wakaf kepada tiga buah surau, iaitu Surau Kg. Tanjung Selangor  sebanyak RM40,000, Surau Madrasah At Taufiq, Kg. Kelat Rendang sebanyak RM19,820 dan Surau Kg. Kelat Rendang sebanyak RM12,000. Penghujung program menyaksikan seorang ahli kariah bersetuju mewakafkan sekeping tanah seluas hampir 3 ekar untuk didirikan pusat pengajian untuk dimanfaatkan oleh umat Islam.

Wakaf Pahang menyatakan penghargaan kepada ahli jemaah yang hadir dalam majlis tersebut  kerana telah memberikan tumpuan kepada penyampaian yang dibuat seterus menyumbang kepada tabung wakaf yang disediakan.