Wakaf Tanah untuk Saham Akhirat

ROMPIN, 15 NOVEMBER 2021 – Amalan saham akhirat itu menjadi pegangan buat adik-beradik Dato’ Abdullah Kadir yang berhasrat mewakafkan sebuah rumah dan tanah seluas kira-kira 2 ekar di Kampung Tanjung Gemok, Kuala Rompin, Pahang. Menurut beliau, perbincangan bersama adik-beradik telah bersetuju agar tanah pusaka peninggalan allahyarham bapa mereka ini dapat diwakafkan untuk manfaat kepada masyarakat setempat. Beliau mewakili keluarga juga mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak Wakaf Pahang yang sudi hadir melawat tapak tanah yang ingin diwakafkan ini. “Harapan kami agar tanah yang diwakafkan ini dapat dibangunkan dan dimanfaatkan sebaik yang mungkin”, katanya dengan penuh harapan.

Lawatan ke tapak tanah wakaf ini diketuai oleh Dato’ Hj Halidan Md Daud, bagi pihak Wakaf Pahang. Menurut beliau“Amalan berwakaf ini sangat dituntut dalam Islam, ianya merupakan pahala yang akan berterusan hingga kiamat”. Bagi pihak Wakaf Pahang, sudah pasti tanah yang diwakafkan ini akan memberi manfaat kepada masyarakat setempat. “Kami juga bercadang untuk wujudkan pusat pendidikan di atas tanah wakaf ini disamping lot-lot perniagaan. Kami ucapkan terima kasih dan tahniah kepada adik-beradik dan ahli keluarga beliau yang telah memilih wakaf sebagai saham akhirat buat mereka” katanya lagi.