PEKAN, 15 Januari 2025 — Lawatan tapak telah diadakan bagi memperkukuh pelaksanaan Projek Kompleks Kesihatan Wakaf di Pekan melibatkan Wakaf Pahang (MUIP) bersama Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) serta Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia. Lawatan ini bertujuan meninjau keadaan semasa tapak projek serta memastikan perancangan dan pelaksanaan projek berjalan selaras dengan keperluan yang telah ditetapkan.
Lawatan tersebut turut melibatkan penglibatan JKR Persekutuan dan JKR Negeri Pahang dalam meneliti aspek teknikal, reka bentuk serta pelaksanaan pembinaan projek. Kerjasama strategik pelbagai agensi ini penting bagi memastikan Projek Kompleks Kesihatan Wakaf dapat dilaksanakan secara teratur, berfasa dan mematuhi piawaian keselamatan serta spesifikasi yang ditetapkan.

Projek Kompleks Kesihatan Wakaf di Pekan merupakan inisiatif wakaf yang dirangka bagi menyokong keperluan kesihatan masyarakat setempat serta memperkukuh peranan wakaf sebagai instrumen pembangunan sosial. Projek ini diharap dapat memberi manfaat jangka panjang kepada ummah melalui penyediaan kemudahan kesihatan yang lebih sistematik dan mampan.
Wakaf Pahang (MUIP) merakamkan penghargaan kepada pihak JAWHAR serta JKR Malaysia atas komitmen dan kerjasama berterusan dalam menjayakan perancangan dan pelaksanaan projek ini. Usaha bersepadu ini mencerminkan kesungguhan semua pihak dalam memastikan pembangunan wakaf dapat dilaksanakan dengan berkesan demi kesejahteraan masyarakat.