PEKAN, 2 NOVEMBER 2026 – Seminar Wakaf Irsod Kali Ke-2 Peringkat Malaysia, yang julung kali diadakan di Negeri Pahang, menjadi medan strategik memperkukuh pembangunan ekonomi Islam melalui pemerkasaan aset wakaf yang produktif, mampan dan berimpak tinggi.
Seminar anjuran UDA Holdings Berhad dengan kerjasama Wakaf Pahang, Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) ini disempurnakan perasmiannya oleh Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah ibni Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, bertempat di Hotel Ancasa Royale, Pekan.
Penganjuran seminar ini merupakan manifestasi titah Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang dalam Mesyuarat MUIP Kali Ke-198 pada 6 April 2026, yang menekankan potensi Wakaf Irsod sebagai instrumen pembangunan ekonomi Islam berlandaskan Enakmen Wakaf Pahang 2022.
WAKAF PAHANG TERUS MENCATAT KEMAJUAN MEMBERANGSANGKAN
Sejak integrasi pentadbiran Wakaf Pahang bersama Pusat Kutipan Zakat Pahang pada tahun 2022, pencapaian institusi wakaf terus diperkukuh:
✅ 17 projek wakaf bernilai RM8.7 juta telah disempurnakan dan dimanfaatkan masyarakat.
✅ 47 projek wakaf berada dalam portfolio pembangunan dengan nilai yang dinyatakan sebanyak RM68.4 juta.
✅ RM18.4 juta dana wakaf berjaya dikumpulkan sepanjang tempoh 2022–2026.
✅ 11,796 pewakaf direkodkan, termasuk 4,601 pewakaf baharu sehingga Oktober 2026.
✅ RM5.9 juta kutipan wakaf sehingga 31 Oktober 2026, meningkat 39% berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.
Lebih signifikan, seminar ini turut menyaksikan dua serahan Wakaf Irsod dan dua serahan Tabung Wakaf Masjid bernilai keseluruhan RM3.1 juta, sekali gus memperlihatkan komitmen nyata pelbagai institusi terhadap pembangunan wakaf di Pahang.
TIGA TERAS STRATEGIK MEMPERKASA WAKAF PAHANG
- Memperluas Wakaf Irsod Kerajaan – Mengoptimumkan aset tanah dan hartanah kerajaan melalui kerjasama strategik agensi awam, GLC dan institusi korporat.
- Membangunkan Projek Wakaf Berimpak Tinggi – Memberikan tumpuan kepada sektor kesihatan, pendidikan, keagamaan dan ekonomi, termasuk potensi Wakaf Robotik dan Rehabilitasi serta Wakaf Ekonomi Kitaran.
- Memperkukuh Kerjasama Pelaburan Wakaf Strategik – Memperkenalkan pendekatan Strategic Waqf Investment Partnership (SWIP) melalui perkongsian pelaburan, kepakaran, teknologi dan sumber bagi menjadikan aset wakaf lebih produktif serta menjana manfaat berterusan.
DUA GERAKAN BESAR WAKAF PAHANG
Wakaf Pahang turut menggariskan dua inisiatif utama bagi memperluas penyertaan masyarakat:
Kempen Potongan Gaji Wakaf RM5 Sebulan, yang menyasarkan penyertaan pekerja Muslim sektor awam dan swasta, serta Kempen 1 Keluarga 1 Wakaf melalui institusi masjid sebagai usaha membudayakan wakaf dalam kehidupan berkeluarga.
Dengan anggaran 579,500 tenaga kerja Muslim di Pahang, penyertaan menyeluruh melalui potongan gaji RM5 sebulan berpotensi menjana sumber pembiayaan yang signifikan bagi mempercepat pelaksanaan projek wakaf.
SERUAN KEPADA SELURUH UMMAH
Wakaf Pahang menyeru para majikan supaya menggalakkan kakitangan berwakaf secara konsisten, kerajaan dan institusi memperluas pelaksanaan Wakaf Irsod, manakala institusi agama terus memperkukuh pendidikan dan kesedaran wakaf melalui masjid serta sekolah-sekolah.
Setinggi-tinggi penghargaan kepada UDA Holdings Berhad, MUIP, semua agensi kerajaan, institusi korporat, pembentang, peserta dan rakan strategik atas komitmen menjayakan agenda pemerkasaan wakaf di Negeri Pahang Darul Makmur.





