Seminar Zakat Dan Wakaf Ipt @ Politeknik Muadzam Shah Perkasa Kesedaran Zakat Dan Wakaf Dalam Kalangan Pelajar

MUADZAM SHAH, 13 Ogos 2026 – Pusat Kutipan Zakat dan Wakaf Pahang (PKZW Pahang) dengan kerjasama Jabatan Pengajian Am dan Jabatan Perdagangan, Politeknik Muadzam Shah telah mengadakan Program Seminar Zakat & Wakaf IPT yang berlangsung di Dewan Seri Muadzam (DKU), Politeknik Muadzam Shah, Pahang.

Seminar yang berlangsung dari jam 2.00 petang hingga 5.00 petang ini melibatkan para pelajar Politeknik Muadzam Shah dan bertujuan memberikan pendedahan serta meningkatkan kefahaman golongan mahasiswa mengenai kewajipan zakat harta, zakat perniagaan dan kepentingan wakaf dalam kehidupan seharian.

Program ini telah dimulakan dengan ucapan aluan oleh Encik Shahrul Nizam bin Mohamed, Timbalan Pengarah Akademik, Politeknik Muadzam Shah, diikuti ucapan oleh YBrs. Dr. Hj. Mohd Azmi bin Othman, Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Kutipan Zakat dan Wakaf Pahang serta penyerahan Wakalah Zakat 2026.

Seminar diteruskan dengan tiga slot pengisian utama. Slot pertama bertajuk “Zakat Harta: Fakta Ringkas Untuk Anak Muda” yang disampaikan oleh Al-Fadhil Ustaz Mohd Nadhir Syafiq bin Rameli, Pegawai Dakwah PKZ Pahang. Slot ini memberikan penerangan berkaitan asas zakat harta serta perkara-perkara penting yang perlu diketahui oleh golongan muda.

Slot kedua bertajuk “Jual Kopi Pun Kena Zakat Ke?” telah disampaikan oleh Encik Mohd Abdul Khaliq bin Mohd Nazir, Pegawai Pemasaran PKZ Pahang yang memberikan pendedahan berkaitan zakat perniagaan, khususnya kepada golongan muda yang bakal menceburi bidang perniagaan dan keusahawanan.

Seterusnya, slot ketiga bertajuk “Wakaf: Peneman Kita Selamanya” telah disampaikan oleh Encik Mohd Farid bin Mohd Ramly, Ketua Bahagian Korporat, Pemasaran & Dakwah, Wakaf Pahang. Pengisian ini memberi penerangan mengenai konsep wakaf serta kepentingannya sebagai salah satu instrumen pembangunan ummah dan amal jariah yang berterusan.

Program turut diserikan dengan sesi cabutan bertuah dan diakhiri dengan minum petang serta bersurai.

Seminar Zakat & Wakaf IPT ini diharapkan dapat memberikan kesedaran awal kepada para pelajar mengenai kepentingan menunaikan zakat serta melaksanakan wakaf, di samping membentuk generasi muda yang lebih memahami tanggungjawab mereka terhadap pembangunan ummah melalui instrumen zakat dan wakaf.

Disediakan oleh,
NURUL AIN BALQIS BINTI MOHD MAZLI
Bahagian Dakwah
Pusat Kutipan Zakat Pahang