MUADZAM SHAH, 20 November 2025 – Wakaf Pahang sebagai wakil rasmi Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) melalui Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Kutipan Zakat Pahang dan Wakaf Pahang, Dr. Haji Mohd Azmi b. Hj Othman telah merasmikan penyerahan Projek Wakaf Solar di Masjid Tengku Ampuan Afzan, Bandar Satelit Muadzam Shah. Inisiatif ini bertujuan meningkatkan kecekapan penggunaan tenaga melalui pemasangan sistem solar yang lebih mesra alam serta mampu mengurangkan kos operasi masjid.

Majlis penyerahan tersebut dijayakan dengan kerjasama strategik Bank Rakyat selaku rakan utama projek. Turut hadir menyaksikan penyerahan ialah Al-Fadhil Qadhi Muadzam Shah dan Pengurus Wilayah Bank Rakyat, melambangkan sokongan padu semua pihak dalam mengembangkan agenda wakaf berimpak tinggi.

Melalui kempen kutipan yang dilaksanakan, Wakaf Pahang bersama jemaah Masjid Tengku Ampuan Afzan berjaya mengumpulkan dana wakaf berjumlah RM120,000. Keseluruhan dana ini disalurkan bagi tujuan pemasangan panel solar dan pelaksanaan aktiviti pemerkasaan masjid ke arah penggunaan tenaga hijau.

MUIP merakamkan penghargaan kepada Bank Rakyat atas komitmen berterusan dalam menjayakan projek ini. Sinergi antara institusi kewangan, agensi agama dan komuniti setempat ini diharapkan dapat menjadi model kerjasama mampan dalam memajukan pembangunan wakaf di negeri Pahang.