Peranan Institusi Wakaf dalam Sosioekonomi Ummah

TEMERLOH, 20 MEI 2022 – Pihak Wakaf Pahang telah dijemput oleh syarikat Biovet International Sdn Bhd untuk memberikan sedikit pengisian kerohanian serta memberikan taklimat berkenaan Wakaf Pahang kepada pegawai dan kakitangan ladang disana. Dalam kunjungan ini, Encik Muhammad Fariduddin bin Mohd Salleh dari Unit Pemasaran Wakaf Pahang telah menyampaikan perkongsian bagi slot kerohanian dan seterusnya memberikan taklimat berkenaan Wakaf Pahang. Pelbagai maklumat berkenaan wakaf serta produk-produk berkenaan Wakaf Pahang telah dijelaskan dengan terperinci serta inisiatif yang telah di ambil oleh pihak Wakaf Pahang dalam usaha memperkasakan wakaf di negeri Pahang.

Selain itu, peranan wakaf tunai juga amat penting bagi yang tidak mempunyai hartanah untuk mewakafkan harta mereka. Pihak Wakaf Pahang telah menyediakan solusi untuk berwakaf melalui kaedah wakaf tunai yang mana had minimum wakaf serendah RM5 sahaja. Semua golongan masyarakat juga boleh berwakaf dan mengumpulkan saham yang bakal dituai keuntungannya di akhirat dengan ganjaran berganda dan berterusan.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Bandingan (perbelanjaan derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah) Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya dan Allah amat luas (rahmat) kurnia-Nya lagi meliputi ilmu pengetahuan-Nya.” (Surah al-Baqarah, ayat 261)

Menurut Syed Naufal bin Syed Ja’afar selaku Pengerusi Biovet International, beliau amat tertarik dengan penerangan berkenaan tanah wakaf di negeri Pahang dan diantara soalan yang banyak ditanya semasa sesi taklimat dan perkongsian tersebut adalah berkaitan aset wakaf yang boleh disewakan kepada orang ramai untuk tujuan membantu ekonomi umat Islam.

Hasil perkongsian maklumat  yang diberikan jelas memberikan impak positif dalam kalangan pengusaha ladang serta syarikat korporat bagi mengembangkan perniagaan mereka dan mereka juga boleh memohon untuk menggunakan tanah wakaf bagi tujuan membesarkan ladang ternakan mereka. Dengan demikian, institusi wakaf dapat berperanan dalam membantu mengurangkan beban fizikal negara dan isu sosioekonomi ummah yang berlaku pada hari ini, dimana sosioekonomi masyarakat menjadi keutamaan agar dasar dan strategi yang dilaksanakan berupaya mendepani keperluan masyarakat dan dalam masa yang sama, berusaha untuk membendung ekonomi daripada kemelesetan.

Menyelami maksud wakaf, ia juga salah satu cara untuk seseorang hamba itu menunjukkan kesyukuran atas nikmat yang dikurniakan Allah SWT. Maka kesediaan institusi wakaf bertepatan pada waktu dan ketikanya.