Sidang Meja Bulat bersama KPP JAIP & Al-Fadhil Qadhi-Qadhi Negeri Pahang

KUANTAN, 21 DISEMBER 2022 – Satu program sidang meja bulat telah diadakan bersama KPP JAIP & Al-Fadhil Qadhi-Qadhi di Negeri Pahang bagi memberi pendedahan lebih lanjut berkenaan kedudukan dan gerak kerja berkaitan Wakaf Pahang. YH. Dato’ Dr. Haji Zulkifle bin Haji Ali Al-Hafiz, Pengarah JAIP turut hadir bersama dalam program tersebut.

Pengurus Besar Kanan Pusat Kutipan Zakat dan Wakaf Pahang, YH Dato’ Haji Halidan bin Md Daud sempat berkongsi tentang pengurusan dan perkembangan wakaf di Negeri Pahang. Beliau berkata, Wakaf Pahang sudah bersedia untuk bergerak lebih maju pada tahun 2023. “Kita sudah membuat banyak penambahbaikan sejak pengurusan Wakaf Pahang diletakkan sementara di bawah Pusat Kutipan Zakat Pahang. Segala prasarana dan tenaga kerja digunakan sebaiknya untuk kelancaran gerak kerja”, katanya.

Menerusi bahagian berkaitan perundangan, Enakmen Wakaf Pahang yang telah diluluskan di Dewan Undangan Negeri Oktober lalu turut dikongsikan oleh YH. Dato’ Hj Mohd Najid bin Hj Hussain selaku Panel Penggubal Enakmen Wakaf Pahang. Dengan adanya enakmen ini, ia lebih memudahkan pihak pengurusan untuk menguruskan aset-aset wakaf yang ada. Tambahan pula, Enakmen Wakaf Pahang ini dilihat lebih terkedepan berbanding enakmen wakaf yang ada di negeri-negeri lain.

Wakaf Pahang berharap agar dengan adanya sesi perbincangan bersama KPP JAIP & Al-Fadhil Qadhi-Qadhi ini dapat membantu menyebar luas berkaitan wakaf di Negeri Pahang kerana mereka ini adalah antara benteng hadapan dalam berurusan dengan masyarakat luar.