KUANTAN, 22 DISEMBER 2022 – Satu program sidang meja bulat telah diadakan bersama Kumpulan Profesional yang terdiri dari pelbagai latar belakang dan kepakaran bagi memberi pendedahan lebih lanjut berkenaan kedudukan dan gerak kerja berkaitan Wakaf Pahang.
Perkongsian berkenaan pengurusan dan perkembangan wakaf di Negeri Pahang telah disampaikan oleh Pengurus Besar Kanan Pusat Kutipan Zakat dan Wakaf Pahang, YH Dato’ Haji Halidan bin Md Daud. Beliau berkongsi, Wakaf Pahang sudah membuat banyak penambahbaikan setelah pengurusan Wakaf Pahang diletakkan sementara di bawah Pusat Kutipan Zakat Pahang yang dahulunya sebagai satu unit dibawah MUIP.
YH. Dato’ Hj Mohd Najid bin Hj Hussain selaku Panel Penggubal Enakmen Wakaf Pahang turut berkongsi berkenaan Enakmen Wakaf Pahang yang telah diluluskan di Dewan Undangan Negeri Oktober lalu. Dengan adanya enakmen ini, ia lebih memudahkan pihak pengurusan untuk menguruskan aset-aset wakaf yang ada. Tambahan pula, Enakmen Wakaf Pahang ini dilihat lebih terkedepan berbanding enakmen wakaf yang ada di negeri-negeri lain.
Wakaf Pahang berharap agar dengan adanya sesi perbincangan bersama Kumpulan Profesional ini dapat membantu menyebar luas seterusnya bekerjasama dalam membangunkan wakaf di Negeri Pahang.