Pekan, 10 Februari 2026 – Satu sesi taklimat berkenaan Kupon Wakaf telah diadakan kepada para Amil Zakat Fitrah di sekitar daerah Pekan. Taklimat ini telah disampaikan oleh Al-Fadhil Ustaz Haji Khairul, wakil daripada Pusat Kutipan Zakat (PKZ) Cawangan Pekan. Kehadiran para amil mencerminkan komitmen berterusan dalam memperkasakan peranan mereka bukan sahaja sebagai pemudah cara kutipan zakat fitrah, malah sebagai penyampai maklumat berkaitan inisiatif wakaf kepada masyarakat setempat.
Program ini bertujuan memberi pendedahan dan kefahaman yang lebih jelas kepada para amil berhubung konsep wakaf, kepentingan berwakaf serta kelebihan amalan ini sebagai sedekah jariah yang berpanjangan. Selain itu, taklimat ini turut menerangkan secara terperinci kaedah pelaksanaan kempen Kupon Wakaf, termasuk fungsi kupon, prosedur pengagihan, serta peranan amil dalam membantu mempromosikan wakaf kepada masyarakat sepanjang musim kutipan zakat fitrah.

Melalui sesi ini, diharapkan para amil dapat menjadi ejen kesedaran yang berkesan dalam menyampaikan mesej kepentingan wakaf kepada masyarakat. Dengan kefahaman yang lebih menyeluruh, para amil bukan sahaja dapat melaksanakan amanah dengan lebih yakin dan teratur, malah turut berperanan membantu memperluaskan penyertaan masyarakat dalam amalan wakaf. Usaha ini secara tidak langsung menyumbang kepada pembangunan ummah dan memastikan manfaat wakaf dapat dinikmati secara berterusan oleh generasi kini dan akan datang.