KUANTAN, 20 Oktober 2022 – Sempena Forum Wakaf “Menjejaki Potensi Wakaf di Negeri Pahang” yang diadakan di Hotel Grand Darulmakmur, Kuantan semalam, 2 majikan yang telah menguruskan potongan gaji menerusi Wakaf Pahang telah diberikan penghargaan. Majlis penghargaan tersebut telah disampaikan oleh Dato’ Seri Mufti Negeri Pahang. Sehingga bulan September 2022, Universiti Malaysia Pahang (UMP) menjadi majikan yang terbanyak melaksanakan potongan gaji untuk kakitangannya diikuti dengan Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS).
Pengurus Besar Kanan Pusat Kutipan Zakat dan Wakaf Pahang, YH Dato’ Haji Halidan bin Md Daud berkata, majikan perlu memainkan peranan penting dalam menggalakkan pegawai dan kakitangannya untuk berwakaf secara tunai, terutamanya secara berkala melalui potongan gaji.
“Kita menyeru supaya majikan terutama sekolah-sekolah, jabatan-jabatan kerajaan dan swasta menggalakkan kakitangan masing-masing membuat potongan gaji wakaf ini. Dengan sokongan semua, insya-Allah, wakaf mampu menjadi sektor ketiga ekonomi negara yang manfaatnya sekali gus dapat dinikmati semua lapisan masyarakat”, katanya.
Wakaf Pahang telah berusaha dengan sebaiknya dalam membantu menyediakan kemudahan berwakaf untuk masyarakat. Berwakaf secara potongan gaji boleh dibuat secara atas talian dengan mengisi borang yang semuanya boleh didapati di portal rasmi Wakaf Pahang.
Pembabitan penjawat awam dan swasta dalam ibadah wakaf melalui potongan gaji secara bulanan dilihat dapat mengukuhkan peranan wakaf sebagai salah satu elemen penting yang mampu membantu meningkatkan taraf sosioekonomi rakyat.
Berbeza dengan ibadah zakat yang penerimanya ditentukan kepada lapan golongan asnaf, ibadah wakaf membolehkan semua masyarakat menikmati manfaatnya tanpa mengira pegangan bangsa dan agama.