TIOMAN, 17 April 2026 – Nilai kemanusiaan dan keindahan Islam terserlah hari ini apabila Bot Wakaf Pahang menjalankan misi menghantar jenazah seorang pengurus resort berbangsa Cina, mendiang (45 tahun), dari Pulau Tioman ke Jeti Teluk Gading untuk proses bedah siasat.

Menerima panggilan kecemasan daripada Ketua Kampung Juara pada jam 8:00 pagi, pihak pengurusan Bot Wakaf segera bertindak menguruskan logistik pelayaran yang dijadualkan bertolak pada jam 10:00 pagi. Misi ini turut membawa tiga orang waris dan seorang anggota PDRM Balai Tekek dengan kerjasama penuh pihak JLM Tioman dan Maritim (APMM) Teluk Gading.

Untuk rekod, kemudahan Bot Wakaf Pahang ini merupakan sumbangan daripada Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) serta hasil sumbangan wakaf daripada orang ramai. Aset ini kini dikendalikan sepenuhnya oleh Lembaga Pembangunan Tioman bagi memastikan kebajikan dan urusan kecemasan penduduk pulau sentiasa diutamakan.

Inisiatif ini membuktikan bahawa manfaat daripada institusi Islam seperti MUIP dan dana wakaf masyarakat tidak hanya terhad kepada komuniti Muslim, malah melimpah kepada seluruh masyarakat tanpa mengira bangsa. Inilah wajah Islam yang sebenar penuh rahmah, ihsan, dan sentiasa bersedia membantu dalam saat sukar.

Sama-sama kita doakan agar urusan ini berjalan lancar. Terima kasih MUIP, para pewakaf, dan Lembaga Pembangunan Tioman atas keprihatinan yang tidak berbelah bahagi dalam menjaga kebajikan rakyat di Negeri Pahang.