TEMERLOH, 15 APRIL 2026 (RABU) – Pusat Kutipan Zakat dan Wakaf Pahang bersama Kumpulan Gedung Penawar terus melakar sejarah penting melalui Majlis Perasmian Pusat Dialisis Mukmin Wakaf Pahang Temerloh, sebagai manifestasi komitmen berterusan dalam memperkasa kesejahteraan ummah melalui instrumen wakaf berimpak tinggi.
Majlis penuh signifikan ini disempurnakan oleh YBhg. Dr. Haji Mohd Azmi bin Haji Othman, Ketua Pegawai Eksekutif PKZW, serta turut dihadiri oleh kepimpinan Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), pihak pentadbiran daerah dan tokoh komuniti setempat.


Kehadiran wakil rasmi MUIP telah diwakili oleh Encik Khairuddin bin Ismail, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Sektor Pengurusan dan Dasar MUIP. Dalam majlis tersebut, beliau turut menyaksikan penyerahan rasmi wakaf melibatkan Dr. Mohd Padzil bin Daros, Chief Kumpulan Gedung Penawar kepada Dr. Haji Mohd Azmi bin Haji Othman, Ketua Pegawai Eksekutif Wakaf Pahang sebagai simbolik penerimaan, sekali gus memperkukuh kepercayaan dan kolaborasi strategik antara kedua-dua pihak.
Penubuhan pusat dialisis ini memperlihatkan pendekatan progresif dalam memanfaatkan wakaf perniagaan, di mana sebahagian keuntungan operasi disalurkan secara berterusan bagi menyokong kebajikan dan keperluan kesihatan masyarakat.
Lebih membanggakan, Kumpulan Gedung Penawar merupakan pusat dialisis pertama di Negeri Pahang yang telah mewakafkan sebanyak lima (5) pusat dialisis kepada Wakaf Pahang. Inisiatif berani dan berimpak tinggi ini menjadi contoh teladan kepada para pengusaha lain dalam memanfaatkan konsep wakaf sebagai instrumen pembangunan ummah yang lestari.


Kumpulan Gedung Penawar juga telah beroperasi lebih dua (2) dekad dengan pelaburan mencecah RM18 juta, serta berjaya membangunkan sebanyak 40 buah pusat dialisis, disokong oleh hampir 250 orang kakitangan dan memberi manfaat kepada lebih 2,000 pesakit di seluruh negara. Pencapaian ini membuktikan keupayaan sektor swasta dalam memperkasa agenda kebajikan melalui pendekatan wakaf yang strategik dan berimpak tinggi.
Pada masa yang sama, pihak Kumpulan Gedung Penawar turut diberi kepercayaan melalui pelantikan sebagai Mutawalli Khas bagi menguruskan operasi pusat-pusat dialisis yang telah diwakafkan secara profesional dan berintegriti. Langkah ini mencerminkan model tadbir urus wakaf yang progresif serta berdaya maju.
Pusat Dialisis Mukmin Temerloh yang telah beroperasi sejak tahun 2010 kini tampil sebagai antara pusat rawatan utama di Pahang dengan 18 mesin hemodialisis berteknologi tinggi serta operasi yang mematuhi piawaian Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).


Dalam majlis yang sama, sejumlah RM70,000 wakaf tunai telah diserahkan kepada Wakaf Pahang bagi tahun 2026 hasil sumbangan pekerja dan pihak syarikat.
Seiring peningkatan permintaan rawatan, pihak Kumpulan Gedung Penawar merancang untuk memperluas rangkaian pusat dialisis di seluruh negeri Pahang, sekali gus memperkukuh ekosistem kesihatan berasaskan wakaf yang mampan.
Majlis ini turut diserikan dengan kehadiran tetamu-tetamu kehormat antaranya:

Muhammad Aizuddin bin Rupawon, Ketua Penolong Pegawai (Pembangunan), Pejabat Daerah dan Tanah Temerloh
Encik Rizal bin Hj Ahmad, Ketua Pegawai Eksekutif MUIP Holdings Sdn. Bhd.
Al-Fadhil Ustaz Abdul Aziz bin Abdul Karim, Qadhi Daerah Temerloh, Pejabat Agama Islam Daerah Temerloh

Justeru, Wakaf Pahang menzahirkan harapan agar sejarah gemilang ini bukan sahaja dikenang dan dimasyhurkan di bumi, bahkan turut diberkati dan dimasyhurkan di langit sebagai amal jariah yang berpanjangan.