KUANTAN, 20 JANUARI 2022 – Pihak Wakaf Pahang telah mengunjungi Puan Noreha di kediamannya bagi memenuhi hajat beliau menyerahkan geran tanah untuk diuruskan oleh pihak Wakaf Pahang. Pertemuan ini dihadiri oleh Encik Farid serta beberapa orang kakitangan Wakaf Pahang selaku wakil dari Wakaf Pahang dan Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang. Menurut beliau, pertemuan hampir dua jam itu banyak memberikan penerangan serta perbincangan yang baik bagi menyelami hasrat pewakaf yang ingin menunaikan wakaf am.
Sebagai institusi yang dipertanggungjawabkan untuk mengurus wakaf di Negeri Pahang, Wakaf Pahang dan Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang akan cuba memberikan perkhidmatan dan penerangan yang terbaik kepada mana-mana pewakaf serta orang ramai khususnya untuk mengetahui tentang perkembangan terkini berkaitan Wakaf Pahang.
Sesungguhnya amalan wakaf adalah sedekah jariah kelas pertama yang manfaatnya berpanjangan bagi umat Islam dan kini Wakaf Pahang mengorak langkah dalam membantu seluruh umat Islam khususnya di Negeri Pahang dengan menganjurkan kempen “Kini Anda Boleh Berwakaf serendah RM 5.00 sahaja”. Bukan itu sahaja, pewakaf juga boleh berwakaf dengan pelbagai saluran kemudahan pilihan yang diinginkan menerusi atas talian, potongan gaji dan sebagainya. Semoga dengan adanya kemudahan serta pakej wakaf mampu milik ini, ia akan menjadi manfaat buat semua yang ingin berwakaf di Wakaf Pahang.