KUANTAN, 25 Februari 2026 – Prihatin terhadap kebajikan golongan memerlukan, Pusat Kutipan Zakat Dan Zakat Wakaf (PKZW) melalui Wakaf Pahang terus komited menyalurkan bantuan kebajikan berasaskan wakaf Kesihatan kepada masyarakat setempat di Negeri Pahang.
Ketua Pegawai Eksekutif PKZW, Dr. Hj. Mohd Azmi bin Othman, diiringi oleh Timbalan Pengurus Besar Wakaf Pahang, Dr. Mohd Syakir bin Hj. Mohd Taib, telah menyampaikan bantuan sebuah kerusi roda wakaf kepada Puan Noor Asmah yang kini menghidap penyakit diabetis serta komplikasi buah pinggang.
Sumbangan kerusi roda tersebut bertujuan memudahkan pergerakan beliau, khususnya untuk ulang alik ke hospital bagi mendapatkan rawatan berkala. Bantuan ini diharap dapat meringankan beban yang ditanggung serta memberi keselesaan dan keselamatan dalam menjalani rawatan harian.
Dr. Hj. Mohd Azmi berkata, inisiatif ini merupakan sebahagian daripada peranan wakaf sebagai instrumen kebajikan yang bukan sahaja tertumpu kepada pembangunan fizikal, bahkan menyentuh keperluan kesihatan dan kesejahteraan individu yang memerlukan.
“Wakaf bukan sekadar pembangunan masjid dan surau Sahaja, tetapi ia juga menjadi medium membantu mereka yang sakit, uzur dan kurang berkemampuan melalui wakaf kesihatan. Setiap sumbangan wakaf yang diamanahkan akan disalurkan secara telus dan berimpak,” jelas beliau.
Sementara itu, Dr. Mohd Syakir menegaskan bahawa Wakaf Pahang akan terus memperluaskan skop agihan wakaf kesihatan agar lebih ramai pesakit kronik dapat dibantu, selaras dengan matlamat memperkukuh peranan wakaf sebagai penyelesaian sosial yang lestari.
Puan Noor Asmah menzahirkan rasa syukur dan terharu atas keprihatinan yang diberikan, serta mendoakan agar para pewakaf dikurniakan ganjaran berlipat ganda dan kesihatan yang berpanjangan.
Inisiatif ini mencerminkan komitmen berterusan Wakaf Pahang dalam memastikan manfaat wakaf dapat dirasai secara langsung oleh golongan yang benar-benar memerlukan di seluruh negeri ini.