TIOMAN, 10 Jun 2026 – Bot Wakaf Pahang telah membantu urusan pemindahan jenazah seorang mangsa lemas di Pulau Tioman pada 8 Jun lalu selepas menerima permohonan bantuan daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) Balai Polis Tekek bagi membawa keluar jenazah ke Teluk Gading untuk dirujuk ke Hospital Rompin.
Permohonan tersebut telah dibuat oleh Ketua Balai Polis Tekek, Inspektor Firdaus, pada jam 12.30 tengah hari berikutan kejadian yang melibatkan seorang lelaki yang meninggal dunia akibat lemas ketika menjalankan aktiviti menyelam (diving).
Mangsa dikenali sebagai Mohammed Ghadaffi Zulkhan, berusia 42 tahun dan berbangsa Melayu.
Bagi memastikan pelayaran berjalan lancar dan selamat, pihak pengurusan Bot Wakaf Pahang turut memaklumkan mengenai pelayaran tersebut kepada Jabatan Laut Malaysia (JLM) Tioman dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Teluk Gading.
Bot Wakaf Pahang telah bergerak pada jam 2.15 petang bagi membantu pihak PDRM setelah dimaklumkan bahawa Bot Polis Marin Teluk Gading sedang melaksanakan operasi sejak sehari sebelumnya.

Antara penumpang yang terlibat dalam pelayaran tersebut ialah dua anggota PDRM dari Balai Polis Tekek serta waris mangsa. Operasi pelayaran telah dikendalikan oleh seorang kapten dan dua orang kelasi yang bertugas.
Bot Wakaf Pahang merupakan aset wakaf yang diwujudkan bagi membantu keperluan pengangkutan, kebajikan dan kecemasan masyarakat setempat. Aset ini kini dikendalikan sepenuhnya oleh Lembaga Pembangunan Tioman bagi memastikan kebajikan dan urusan kecemasan penduduk pulau sentiasa diutamakan.
Misi ini membuktikan komitmen berterusan Wakaf Pahang dan Lembaga Pembangunan Tioman dalam memperkukuhkan jaringan bantuan kemasyarakatan serta menyediakan sokongan kepada agensi penguatkuasaan dan penduduk setempat ketika berdepan situasi kecemasan.
Semoga segala urusan pengurusan jenazah dipermudahkan dan keluarga Allahyarham diberikan kekuatan serta ketabahan dalam menghadapi ujian ini.