TEMERLOH, 16 Jun 2026 – Wakaf Pahang telah menyalurkan sumbangan dana wakaf berjumlah RM192,366.25 bagi menjayakan Projek Van Jenazah PDRM dalam satu majlis yang berlangsung di Balai Polis Kuala Krau, Temerloh.
Sumbangan tersebut disalurkan hasil kerjasama strategik antara Wakaf Pahang, Koperasi Serbaguna Malaysia Berhad (KOSMA) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Pahang dalam usaha memperkukuhkan kemudahan pengurusan jenazah demi manfaat masyarakat.
Penyerahan simbolik dana telah disempurnakan oleh YDH CP Dato’ Sri Yahaya bin Othman, Ketua Polis Pahang, disaksikan oleh wakil-wakil daripada Wakaf Pahang dan KOSMA.
Projek Van Jenazah PDRM ini diwujudkan bagi membantu melancarkan urusan pengurusan jenazah khususnya melibatkan kes-kes yang memerlukan bantuan logistik dan pengangkutan, sekali gus meringankan beban waris yang berdepan situasi sukar.



Dana wakaf yang disalurkan merupakan hasil sumbangan dan kepercayaan para pewakaf yang terus menyokong pelbagai inisiatif kebajikan melalui Wakaf Pahang. Melalui kerjasama bersama KOSMA dan PDRM, dana tersebut berjaya diterjemahkan kepada sebuah projek yang memberi manfaat secara langsung kepada masyarakat.
Dalam majlis tersebut, Ketua Polis Pahang turut merakamkan penghargaan kepada Wakaf Pahang dan KOSMA atas komitmen serta kerjasama yang diberikan dalam merealisasikan projek berimpak tinggi tersebut.
Inisiatif ini membuktikan bahawa wakaf mampu menjadi pemangkin kepada penyediaan kemudahan yang memberi manfaat berpanjangan kepada masyarakat, selaras dengan matlamat pembangunan ummah dan kesejahteraan sosial di Negeri Pahang.
Wakaf Pahang akan terus komited memperluaskan manfaat wakaf melalui pelbagai kerjasama strategik demi memastikan lebih banyak projek berimpak tinggi dapat direalisasikan untuk kesejahteraan rakyat.