KUANTAN, 23 Julai 2026 – Pusat Kutipan Zakat Pahang (PKZ Pahang) telah menjayakan Seminar Pengurusan Harta Islam yang berlangsung di Kem Briged Tenggara, Pasukan Gerakan Am (PGA) Pahang dari jam 8.00 pagi hingga 1.00 petang.
Seminar ini diadakan bagi meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan pengurusan harta menurut syariat Islam, merangkumi aspek perancangan kewangan, pewarisan, wakaf serta perlindungan masa hadapan. Program ini mendapat sambutan yang menggalakkan daripada warga PGA Pahang yang hadir bagi menimba ilmu daripada para penceramah berpengalaman dalam bidang masing-masing.
Antara pengisian utama seminar ialah ceramah bertajuk “Pengurusan Harta Menurut Perspektif Islam” yang disampaikan oleh Ustaz Mohd Nadhir Syafiq bin Rameli, Pegawai Dakwah PKZ Pahang. Beliau menghuraikan kepentingan mengurus dan merancang harta secara sistematik selaras dengan tuntutan syariah agar manfaatnya dapat diteruskan kepada waris serta masyarakat.
Turut menyampaikan ceramah ialah Puan Nor Azizah binti Mohd Aziz, Pegawai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), yang berkongsi maklumat mengenai kepentingan simpanan persaraan serta kemudahan dan manfaat yang disediakan oleh KWSP kepada pencarum.

Sementara itu, Encik Hilmi bin Abdul Hadi, Perunding Harta Amanah Raya Berhad, memberikan penerangan mengenai perancangan pewarisan harta, kepentingan penyediaan wasiat serta kaedah pentadbiran pusaka bagi memastikan harta dapat diurus dan diagihkan dengan lebih teratur.
Pengisian seminar turut disempurnakan oleh Mohd Fariduddin bin Salleh, Pegawai Wakaf Pahang, yang menerangkan konsep wakaf sebagai instrumen kebajikan dan pembangunan ummah. Beliau turut berkongsi mengenai inisiatif serta peluang berwakaf yang disediakan bagi membolehkan masyarakat menyumbang kepada pembangunan Islam secara berterusan.
Seminar ini menjadi platform yang bermanfaat dalam meningkatkan kefahaman peserta mengenai pengurusan harta secara menyeluruh, di samping mengukuhkan kesedaran bahawa perancangan harta, zakat, wakaf dan pewarisan merupakan antara elemen penting dalam memastikan kesejahteraan diri, keluarga serta masyarakat.
PKZ Pahang berharap penganjuran seminar seperti ini dapat diteruskan melalui kerjasama strategik bersama pelbagai agensi bagi memperluaskan kefahaman masyarakat terhadap kepentingan pengurusan harta Islam dan seterusnya melahirkan masyarakat yang lebih celik kewangan serta patuh syariah.
Disediakan oleh,
Mohd Akmal Afif bin Mohd Nasir
Bahagian Korporat
Pusat Kutipan Zakat Pahang





