TIOMAN, 19 Julai 2026 – Inilah hasil sumbangan para pewakaf. Amanah yang diwakafkan oleh masyarakat terus dimanfaatkan apabila Bot Wakaf Pahang digunakan bagi membantu operasi pemindahan seorang jenazah lemas dan seorang pesakit dari Pulau Tioman ke tanah besar selepas menerima permohonan daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) Tekek dan Klinik Kesihatan (KK) Tekek.
Permohonan penggunaan Bot Wakaf Pahang diterima pada Ahad, 19 Julai 2026 jam 1.15 petang, manakala operasi pelayaran dijadualkan bermula sekitar jam 2.30 petang bagi memastikan kedua-dua misi dapat dilaksanakan dengan segera dan teratur.
Operasi ini melibatkan kerjasama pelbagai agensi dalam memastikan urusan pemindahan berjalan lancar. Sehubungan itu, pihak pengurusan Bot Wakaf Pahang telah memaklumkan pelayaran tersebut kepada Jabatan Laut Malaysia (JLM) Tioman dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Teluk Gading bagi tujuan penyelarasan serta pemantauan keselamatan sepanjang operasi dijalankan.
Penggunaan Bot Wakaf Pahang dalam misi ini membuktikan bahawa aset yang diwujudkan hasil sumbangan para pewakaf bukan sahaja memberi manfaat dalam pembangunan ummah, malah turut memainkan peranan penting dalam membantu operasi kemanusiaan dan kecemasan, khususnya bagi masyarakat yang tinggal di kawasan kepulauan.

Setiap kali bot ini digerakkan, ia membawa bersama amanah dan keprihatinan para pewakaf yang telah memilih untuk berwakaf demi manfaat masyarakat. Dalam situasi yang memerlukan tindakan pantas, kemudahan ini menjadi antara penghubung penting bagi membantu agensi penyelamat dan petugas kesihatan melaksanakan tanggungjawab mereka dengan lebih berkesan.
Wakaf Pahang merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan operasi ini, khususnya PDRM Tekek, Klinik Kesihatan Tekek, Jabatan Laut Malaysia (JLM) Tioman dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Teluk Gading atas kerjasama yang diberikan.
Terima kasih kepada seluruh para pewakaf. Setiap sumbangan yang diamanahkan bukan sekadar membina sebuah aset, bahkan menjadi manfaat yang sentiasa hidup dan hadir membantu masyarakat ketika saat-saat yang paling memerlukan.





