KUANTAN, 15 DISEMBER 2021 – Pihak Wakaf Pahang yang mewakili Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang telah menerima 4 lot Tanah untuk diwakafkan. Antara pewakaf yang telah mewakafkan tanah adalah Puan Asmah, beliau mewakafkan tanah tersebut bagi tujuan kebajikan am. Manakala Encik Abd Rahman juga bagi tujuan yang sama.
Selain itu, Encik Khairron Anuar telah membeli 2 lot tanah bersebelahan dan mewakafkan kepada Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang di Mukim Kuala Kuantan, Bukit Bangkong.

Amalan wakaf ini ibarat ‘gergasi sedang tidur’ memandangkan potensinya belum diterokai sepenuhnya. Syariat Islam mengiktiraf wakaf sebagai amalan sedekah kelas pertama yang sangat digalakkan. Ia menjanjikan imbuhan pahala berterusan kepada pewakaf, selagi harta diwakafkan itu kekal dan memberi manfaat.
Firman Allah SWT: “Bandingan (perbelanjaan derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah) Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya dan Allah amat luas (rahmat) kurnia-Nya lagi meliputi ilmu pengetahuan-Nya.” (Surah al-Baqarah, ayat 261)