TIOMAN, 16 Jun 2026 – Bot Wakaf Pahang sekali lagi memainkan peranan penting dalam membantu urusan pemindahan pesakit apabila digunakan bagi membawa dua orang pesakit dari Klinik Kesihatan (KK) Tekek ke Teluk Gading untuk mendapatkan rawatan lanjut di Hospital Rompin.
Permohonan penggunaan Bot Wakaf Pahang diterima pada 15 Jun 2026 jam 11.30 malam daripada Dr. Amilin, Klinik Kesihatan Tekek, susulan keperluan pemindahan segera dua pesakit yang memerlukan rawatan pakar. Operasi pelayaran telah dilaksanakan pada 16 Jun 2026 jam 8.30 pagi.
Dua pesakit yang dipindahkan ialah seorang lelaki berusia 21 tahun yang mengalami usus kecil tersumbat, manakala seorang lagi ialah kanak-kanak perempuan berusia empat tahun yang mengalami pendarahan dalam kepala. Kedua-dua pesakit dirujuk ke Hospital Rompin bagi mendapatkan rawatan lanjut.
Bagi memastikan perjalanan berjalan lancar dan selamat, pihak pengurusan Bot Wakaf Pahang telah berhubung dengan Jabatan Laut Malaysia (JLM) Tioman serta Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Teluk Gading bagi memaklumkan pelayaran tersebut. Bantuan ini amat signifikan memandangkan Bot Ambulans berada di Teluk Gading pada ketika itu, sekali gus menjadikan Bot Wakaf Pahang sebagai pengangkutan alternatif yang kritikal dalam memastikan pesakit menerima rawatan tanpa kelewatan.
Operasi ini dikendalikan oleh seorang kapten dan dua orang kelasi daripada TDA yang memastikan proses pemindahan berlangsung dengan selamat sehingga pesakit tiba di destinasi.
Inisiatif Bot Wakaf Pahang membuktikan bahawa manfaat wakaf bukan sahaja tertumpu kepada pembangunan fizikal, malah turut menyumbang secara langsung kepada aspek kesihatan dan kebajikan masyarakat. Melalui sokongan para pewakaf, perkhidmatan ini terus menjadi penghubung harapan kepada penduduk yang memerlukan bantuan kecemasan, khususnya di kawasan kepulauan.
“Daripada wakaf, lahirnya manfaat yang terus menyelamatkan nyawa dan memberi harapan kepada mereka yang memerlukan.”