KUANTAN, 23 Jun 2026 – Wakaf Pahang terus memperluaskan jaringan kerjasama strategik dalam usaha memperkasa budaya berwakaf menerusi pelancaran Skim Potongan Gaji Wakaf PDRM: Legasi Sang Saka Biru yang telah disempurnakan oleh YDH CP Dato’ Sri Yahaya bin Othman, Ketua Polis Pahang di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang.
Program yang dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) IPK Pahang ini bertujuan menggalakkan penyertaan warga PDRM dalam amalan wakaf secara konsisten melalui kaedah potongan gaji bulanan, sekali gus memperluaskan manfaat wakaf kepada masyarakat.
Pada majlis tersebut, Wakaf Pahang telah menyalurkan sumbangan Dana Wakaf berjumlah RM50,000 kepada PDRM Kontinjen Pahang. Turut berlangsung penyerahan Dana Wakalah Zakat PDRM Pahang berjumlah RM135,864.00 bagi manfaat pembangunan masyarakat dan golongan yang memerlukan.
Ketua Polis Pahang dalam ucapannya menzahirkan penghargaan kepada Wakaf Pahang atas jalinan kerjasama strategik yang berjaya direalisasikan serta menyifatkan inisiatif tersebut sebagai satu platform yang mampu memperkukuh sosioekonomi ummah dan kesejahteraan masyarakat.



Menurut beliau, kejayaan Kempen Potongan Gaji Zakat PDRM Pahang yang mencatat penyertaan melebihi 55 peratus daripada keseluruhan warga PDRM sebelum ini menjadi pemangkin kepada pelaksanaan skim potongan gaji wakaf yang dilancarkan pada hari ini.
Beliau turut menyeru seluruh warga PDRM Pahang untuk bersama-sama menyertai program tersebut kerana wakaf merupakan satu bentuk sedekah jariah yang memberi manfaat berpanjangan kepada masyarakat serta menjadi saham akhirat yang berterusan.
Katanya, dengan kekuatan lebih 6,000 pegawai dan anggota, sekiranya setiap individu menyumbang sekurang-kurangnya RM5 sebulan, dana sebanyak RM30,000 mampu dikumpulkan setiap bulan bagi menyokong pembangunan ekonomi dan kebajikan umat Islam di Negeri Pahang.
Pelancaran program ini membuktikan komitmen berterusan Wakaf Pahang dalam memperluaskan instrumen wakaf kepada pelbagai sektor dan agensi strategik, sekali gus membuka peluang kepada lebih ramai masyarakat untuk menyumbang ke arah pembangunan ummah secara mampan.
Majlis diakhiri dengan pelancaran rasmi Skim Potongan Gaji Wakaf PDRM “Legasi Sang Saka Biru”, yang diharap menjadi pemangkin kepada penglibatan lebih ramai warga PDRM dalam agenda wakaf di Negeri Pahang.