Dialog Santai bersama Penghulu-Penghulu di Daerah Maran

MARAN, 19 MEI 2022 – “Bermaklumat, Mesra Pengguna, Personalized“, begitulah ungkapan yang sinonim dengan kewujudan portal wakfpahang.my yang telah dikongsikan oleh YH. Dato’ Hj. Halidan bin Md Daud selaku Pengurus Besar Kanan Pusat Kutipan Zakat dan Wakaf Pahang dalam satu sesi taklimat dan perkongsian bersama penghulu-penghulu di daerah Maran.

Dalam pertemuan ini, penghulu-penghulu di daerah Maran begitu tertarik dengan penerangan serta info-info berkenaan Wakaf Pahang yang kini semuanya boleh di akses dengan mudah melalui portal Wakaf Pahang. Selain itu, mereka turut didedahkan tentang kepentingan penggunaan tanah Wakaf Pahang yang bukan sahaja tertumpu kepada pembinaan masjid atau pusat-pusat ilmu seperti mana pengamalan masyarakat yang terdahulu, bahkan ia juga boleh digunakan untuk tujuan merancakkan pembangunan ekonomi penduduk setempat dengan 5 teras utama yang di bawa oleh pihak Wakaf Pahang iaitu untuk tujuan keagamaan, ekonomi, kesihatan, sosial, dan pendidikan.

Usaha pihak Wakaf Pahang dalam merancakkan ekonomi umat Islam dengan memberikan tawaran penggunaan aset-aset wakaf yang ada melalui sistem permohonan yang mudah serta menyusun atur dan memperkemas semula sistem pengurusan dalaman supaya maklumat permohonan tanah wakaf dapat disalurkan kepada masyarakat di luar sana dengan lebih efektif.

Dalam masa yang sama, amalan wakaf bukan hanya tertumpu hal pembangunan ekonomi umat Islam sahaja malah ia adalah satu proses pembentukan keimanan agar masyarakat Islam secara umumnya memiliki kekuatan mental dan spiritual serta berdaya saing dalam hal kemakmuran dan kesejahteraan kehidupan dunia dan akhirat.