[MISI KECEMASAN] Bot Wakaf Pahang Gerak Pantas: Nyawa Rakyat Diutamakan! 🛥️🚑

TIOMAN, 27 April 2026 – Kebajikan dan keselamatan penduduk Pulau Tioman terus menjadi keutamaan. Hari ini, Bot Wakaf Pahang telah digerakkan bagi misi evakuasi perubatan melibatkan seorang pesakit, Encik Remmy bin Shaharin (41 tahun), dari Klinik Kesihatan Tekek untuk dirujuk segera ke Hospital Rompin.

Misi ini dilaksanakan bagi membantu melancarkan urusan pihak Kesihatan memandangkan Bot Ambulans mengalami kerosakan pada 26 April (Ahad) semasa dalam perjalanan masuk ke Tioman. Pihak pengurusan Bot Wakaf segera mengambil langkah proaktif mengatur gerak logistik bagi memastikan rawatan pesakit tidak tergendala.

Pelayaran yang bertolak jam 9:30 pagi tadi turut disertai oleh waris pesakit dan seorang Pegawai Perubatan (MA) bagi memantau keadaan pesakit sepanjang perjalanan.

Aset ini dikendalikan sepenuhnya oleh Lembaga Pembangunan Pulau Tioman bagi memastikan keperluan kecemasan di pulau sentiasa terjaga.

Inilah bukti nyata komitmen agensi di Pahang dalam menyantuni rakyat melalui sifat ihsan dan kerjasama yang utuh. Terima kasih juga kepada pihak JLM Tioman dan Maritim Malaysia (APMM) atas bantuan kelancaran pelayaran ini.

Sama-sama kita doakan kesembuhan buat pesakit dan semoga urusan rawatan di Hospital Rompin dipermudahkan. 🤲✨