Taklimat Wakaf bersama Kesatuan Penghulu Penggawa Negeri Pahang

KUANTAN, 15 JULAI 2022 – Satu taklimat berkenaan wakaf telah berlangsung di Hotel Grand Darul Makmur, dihadiri hampir 50 orang Penghulu-Penghulu negeri Pahang yang memberi tumpuan kepada pengurusan dan isu-isu semasa berkaitan wakaf. Menerusi penerangan dan taklimat ini, ia memberikan satu peluang dan pendedahan yang amat baik dalam kalangan Penghulu-Penghulu negeri Pahang untuk lebih memahami perjalanan pengurusan organisasi Wakaf Pahang disamping mendapat ilmu berkenaan wakaf.

Menurut Ustaz Mohd Farid bin Ramly dari unit Dakwah & Pemasaran Wakaf Pahang, wakaf adalah satu ibadah menyerahkan harta yang kita miliki untuk kegunaan umat Islam dengan niat sebagai ibadah untuk mendekatkan diri kita kepada Allah SWT. Para Fuqaha’ (ahli fiqh dan ulama’) berpendapat, amalan wakaf merupakan ibadah yang berbentuk sedekah jariah yang menjanjikan ganjaran pahala yang berkekalan dan mengalir terus kepada pewakaf dan sangat dituntut dalam agama Islam.

Dalam pertemuan ini, penghulu-penghulu negeri Pahang begitu tertarik dengan penerangan serta info-info berkenaan Wakaf Pahang yang kini semuanya boleh di akses dengan mudah melalui portal Wakaf Pahang. Selain itu, mereka turut didedahkan tentang kepentingan penggunaan tanah Wakaf Pahang yang bukan sahaja tertumpu kepada pembinaan masjid atau pusat-pusat ilmu seperti mana pengamalan masyarakat yang terdahulu, bahkan ia juga boleh digunakan untuk tujuan merancakkan pembangunan ekonomi penduduk setempat dengan 5 teras utama yang di bawa oleh pihak Wakaf Pahang iaitu untuk tujuan keagamaan, ekonomi, kesihatan, sosial, dan pendidikan.

Usaha pihak Wakaf Pahang dalam merancakkan ekonomi umat Islam dengan memberikan tawaran penggunaan aset-aset wakaf yang ada melalui sistem permohonan yang mudah serta menyusun atur dan memperkemas semula sistem pengurusan dalaman supaya maklumat permohonan tanah wakaf dapat disalurkan kepada masyarakat di luar sana dengan lebih efektif.

Semoga hubungan baik yang terjalin ini dapat memantapkan lagi pengurusan wakaf di negeri Pahang.